Kategori 1

Zoom:Bit Line Following Robot
1. Syarat-syarat Umum Penyertaan

(1.1) Pertandingan adalah terbuka kepada pelajar-pelajar sekolah rendah dari daerah di negeri Terengganu.

(1.2) Setiap sekolah hanya dibenarkan mendaftar tidak lebih daripada dua (2) pasukan sahaja.

(1.3) Setiap peserta hanya dibenarkan mendaftar untuk satu (1) pasukan sahaja.

(1.4) Penyertaan adalah secara berpasukan dan setiap pasukan dibenarkan penyertaanya tidak lebih daripada tiga (3) orang peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah.

(1.5) Setiap pasukan hanya dibenarkan melantik seorang guru pengiring sahaja dan tidak dibenarkan mengiringi lebih daripada satu pasukan.

(1.6) Penyertaan tidak boleh digantikan dengan peserta lain semasa hari pertandingan dan penggantian peserta tertakluk kepada kelulusan pihak penganjur.

(1.7) Tiada pemulangan wang pendaftaran sekiranya pasukan yang telah mendaftar menarik diri.

2. Syarat-Syarat Pertandingan

(2.1) Satu pasukan hanya dibenarkan untuk mendaftar satu (1) robot sahaja dan tidak dibenarkan berkongsi robot yang sama dengan pasukan lain.

(2.2) Format perlawanan adalah satu (1) lawan satu (1).

(2.3) Hanya dua (2) orang peserta sahaja dibenarkan memasuki gelanggang semasa pertandingan.

(2.4) Setiap peserta perlu menghadirkan diri bersama robot ke ruangan persediaan sekurang-kurangnya lima (5) minit sebelum masa pertandingan bagi tujuan kelancaran proses pertandingan.

(2.5) Setiap pertandingan akan disertai seramai empat (4) orang juri bagi tujuan pemarkahan dan keputusan pertandingan.

(2.6) Ketepatan masa adalah suatu perkara yang sangat diambil berat dalam menentukan kelayakan dan mengikut budi bicara pihak urus setia. Peserta akan dikira kalah tanpa bertanding sekiranya mereka tidak dapat menghadirkan diri ke gelanggang pertandingan setelah nama kumpulan dipanggil sebanyak tiga (3) kali.

(2.7) Peserta dilarang memasuki gelanggang pertandingan, dengan hanya kebenaran petugas dan pengadil pertandingan sahaja.

(2.8) Peserta tidak dibenarkan untuk berkongsi robot dengan peserta dari kumpulan yang lain.

(2.9) Urus setia berhak membatalkan penyertaan jika didapati peserta tidak mengikuti kriteria dan syarat pertandingan.

3. Pelaksanaan Pertandingan

(3.1) Selepas tarikh tutup pendaftaran, sesi penyusunan jadual pertandingan akan dilaksanakan oleh urus setia dan akan dipamerkan semasa hari taklimat atau pun ke suatu tempoh masa yang akan ditetapkan sebelum hari pertandingan.

(3.2) Sekiranya ada penyertaan lebih dari satu pasukan dari sekolah yang sama, mereka akan diletakkan pada kumpulan yang berbeza pada peringkat liga bagi memastikan peluang sama rata diberikan bagi setiap penyertaan dan sebarang pindaan ini tertakluk kepada keputusan urusetia sekiranya ada.

4. Peraturan Pertandingan

(4.1) Peringkat Liga Kumpulan

(4.1.1) Penyertaan terbuka kepada maksimum 80 pasukan yang terdiri dari kategori sekolah kebangsaan yang berada dalam daerah-daerah negeri Terengganu sahaja.

(4.1.2) Pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan besar A, B, C dan D (sila rujuk bahagian jadual perlawanan 6.1 untuk maklumat terperinci).

(4.1.3) Setiap pasukan akan bertanding secara liga sebanyak empat (4) pusingan maksimum tertakluk kepada jumlah pasukan bagi setiap kumpulan dan perlu mengikut jadual perlawanan yang akan ditetapkan.

(4.1.4) Setiap pusingan, pasukan akan bertanding sebanyak sekali sahaja dengan tiga kali percubaan

(4.1.5) Hanya juara bagi setiap kumpulan akan layak ke peringkat kalah mati.

(4.2) Peringkat Suku Akhir

(4.2.1) Sebanyak 16 pasukan yang merupakan juara bagi peringkat liga kumpulan akan layak berada diperingkat suku akhir ini.

(4.2.2) Pada peringkat ini, setiap pasukan akan bertanding sebanyak sekali sahaja dengan tiga kali percubaan untuk ditentukan sebagai pemenang dan sebarang pindaan tertakluk kepada budi bicara pihak penganjur.

(4.2.3) Di peringkat ini juga, empat (4) kumpulan A, B, C, D dipecahkan kepada dua (2) blok. Blok yang pertama terdiri dari kumpulan A dan B, manakala blok yang kedua terdiri dari kumpulan C dan D.

(4.2.4) Susun atur pihak lawan adalah seperti yang terdapat pada jadual perlawanan (sila rujuk klausa 6.2).

(4.2.5) Dalam peringkat ini, akan terdapat lima (5) pasukan pemenang bagi setiap blok dan hanya dua (2) pasukan terbaik bagi setiap blok sahaja akan layak ke peringkat separuh akhir.

(4.2.6) Proses pemilihan dua (2) pasukan terbaik ini adalah berdasarkan kriteria seperti dalam klausa penjurian 6.

(4.3) Peringkat Separuh Akhir

(4.3.1) Dua (2) pasukan terbaik dari setiap blok yang layak ke peringkat ini akan bertanding.

(4.3.2) Pada peringkat ini, setiap pasukan akan bertanding dalam blok masing-masing sebanyak sekali sahaja dengan tiga kali percubaan untuk ditentukan sebagai pemenang dan sebarang pindaan tertakluk kepada budi bicara pihak penganjur.

(4.3.3) Pasukan pemenang bagi peringkat ini tertakluk kepada kriteria penjurian seperti di klausa 5. Dua pasukan pemenang ini akan layak mara ke peringkat akhir (sila rujuk susun atur perlawanan di klausa 6.2).

(4.3.4) Sekiranya kedua-dua pasukan yang bertanding mempunyai mata dan rekod masa yang sama maka perlawanan semula akan dilaksanakan.

(4.4) Perlawanan Akhir

(4.4.1) Wakil pasukan pemenang dari blok pertama dan kedua di peringkat separuh akhir akan bertanding pada peringkat ini.

(4.4.2) Pada peringkat ini hanya sekali sahaja perlawanan dengan tiga kali percubaan akan diadakan dan pasukan pemenang bagi peringkat ini tertakluk kepada kriteria penjurian seperti di klausa 6 akan layak dikira sebagai pemenang.

(4.4.3) Sekiranya kedua-dua pasukan yang bertanding mempunyai mata dan rekod masa yang sama maka perlawanan semula akan dilaksanakan.

(4.5) Peserta perlu menyediakan sendiri gelanggang pertandingan yang mengandungi laluan perjalanan robot bagi tujuan persediaan awal dan pihak penganjur hanya akan menyediakan gelanggang semasa hari pertandingan sahaja.

(4.6) Pihak penganjur akan menyediakan templat gelanggang secara softcopy atas talian. Peserta boleh memuat turun templat tersebut dan mencetaknya dengan menggunakkan format kertas bersaiz A0. Templat dan saiz gelanggang yang sama juga akan digunakan semasa hari pertandingan.

(4.7) Sebelum perlawanan dimulakan, peserta perlu mengaktifkan sumber kuasa dan perlu meletakkan robot masing-masing di dalam kawasan petak mula yang disediakan.

(4.8) Pada ketika ini, peserta perlu memastikan robot tidak bergerak dan kekal dalam petak mula. Segala fungsi bunyi yang terdapat pada robot perlu dinyahakitfkan.

(4.9) Pertandingan akan dimulakan sebaik sahaja juri meniup wisel atau sebarang isyarat mula, masa akan mula direkodkan dan peserta perlu mengaktifkan pergerakkan robot secara automatik dengan menekan fungsi butang yang terdapat pada robot.

(4.10) Sebaik sahaja robot bergerak keluar dari kawasan petak mula peserta tidak dibenarkan lagi menyentuh robot tersebut kecuali situasi pada 4.13 berlaku.

(4.11) Sekiranya peserta mengaktifkan robot sebelum wisel dibunyikan, pasukan akan dikenakan kad amaran pertama.

(4.12) Dan sekiranya peserta masih melakukan kesalahan yang sama bagi kali yang kedua, peserta akan terus disingkirkan. Pada ketika ini, pasukan lawan akan dikira sebagai pemenang dan tetap perlu menghabiskan pertandingan tersebut tanpa pasukan yang tersingkir bagi tujuan merekod masa dan mata oleh pihak juri. Masa dan mata yang direkodkan ini akan digunakan sebagai pertimbangan pasukan ke peringkat seterusnya sekiranya dilihat perlu.

(4.13) Semasa robot sedang bergerak dan tersasar dari laluan barulah peserta dibenarkan untuk menyentuh dan mengambil robot dan wajib meletakkannya semula di petak mula untuk memulakan semula pergerakkan robot. Robot perlu di ‘reset’ kan semula setiap kali berlakunya situasi ini. Bagi setiap kali ulangan akan dikira sebagai satu percubaan.

(4.14) Peserta dibenarkan untuk melakukan ulang semula pergerakan robot sebanyak tiga kali sahaja dan dalam tempoh masa pertandingan iaitu dua (2) minit atau juri memberikan sebarang isyarat berhenti. Pengubahsuaian kod pengaturcaraan pada ketika ini adalah tidak dibenarkan.

(4.15) Tugasan robot peringkat liga kumpulan dan suku akhir adalah seperti berikut. Peserta perlu membuat persediaan awal dengan memuat naik kod pengaturcaraan (makecode) ke dalam robot sebelum hari pertandingan

(4.15.1) Check point 1 hingga 10: Robot perlu memaparkan nombor satu (1)  pada paparan led sebaik sahaja robot melepasi check point 1 dan menukarkan paparan nombor mengikut check point yang dilalui sehinggan check point yang ke 10.

(4.15.2) Check point 10 :  Keseluruhan badan robot perlu melepasi check point 10 bagi pihak  juri menamatkan pertandingan dan merekodkan masa tamat bagi robot tersebut. Terdapat halangan objek selepas check point ini dan robot perlu berhenti sebelum menyentuh atau melanggar objek ini. Sekiranya gagal akan memberi kesan pada pungutan mata (sila rujuk klausa penjurian). Bagi saiz objek halangan dan kedudukannya sila rujuk bahagian klausa spesifikasi gelanggang.

(4.16) Bagi peringkat separuh akhir dan akhir. Peserta yang layak akan diberikan tugasan baru untuk dilaksanakan bagi setiap checkpoint dan hanya akan diberitahu semasa hari pertandingan selepas melepasi peringkat suku akhir. Peserta akan diberi masa 15 minit sebelum pertandingan bermula untuk mengubah kod pengaturcaraan (makecode) dan memuat naik ke dalam robot. Dalam tempoh ini peserta boleh mencuba robot di atas gelanggang perlawanan yang disediakan. Setiap pasukan diminta untuk membawa komputer riba sendiri dan pihak penganjur tidak akan menyediakannya utk mana-mana pasukan.

(4.17) Hanya peserta sahaja dibenarkan untuk mengubah dan memuatnaik kod pengaturcaraan tersebut tanpa melibatkan guru pembimbing.

(4.18) Bateri tidak akan disediakan dan setiap kumpulan perlu menyediakannya sendiri termasuklah bateri gantian.

5. Kriteria Penjurian

(5.1) Pemenang bagi setiap perlawanan adalah berdasarkan jumlah pungutan mata sebagai asas penilaian pertama dan tempoh masa terpantas sebagai asas penilaian kedua yang direkodkan setelah mengambil kira penalti mata sekiranya ada dan bukan berdasarkan robot yang pertama berjaya melepasi check point 10. Klausa ini terpakai bagi kesemua perlawanan sepanjang pertandingan berlangsung.

(5.2) Kiraan mata adalah seperti berikut :

(5.2.1) Check point 1 hingga 10 : Sebanyak satu (1) mata akan diberikan untuk setiap robot yang berjaya melakukan tugasan di setiap check point ini.  Jumlah keseluruhan adalah 10 mata.

(5.2.2) Objek halangan :  Sebanyak satu (1) mata akan diberikan sekiranya robot berhenti melepasi garisan check point 10 dan tidak menyentuh atau menjatuhkan objek yang berada 25 cm dari garisan check point 10 ini. Manakala, tiada markah akan diberikan sekiranya robot peserta menyentuh atau menjatuhkan objek ini termasuklah robot yang berhenti di atas garisan check point ini.

(5.3) Tiada kiraan mata bagi robot yang memaparkan nombor tidak selari dengan checkpoint yang dilalui. Contohnya robot melepasi check point 4 tetapi memaparkan nombor 5 atau 3 pada paparan led robot.

(5.4) Sekiranya robot tersasar keluar dari laluan gelanggang. Peserta perlu meletakkanya semula pada petak mula dan mengaktifkan robot kembali. Bagi situasi ini setiap kali ulangan akan dikira sebagai satu percubaan.

(5.5) Setiap perlawanan diperuntukkan masa selama dua (2) minit sahaja untuk setiap pasukan menghabiskan perlawanan.

(5.6) Sekiranya kedua-dua robot pasukan yang bertanding tidak berjaya menyelesaikan kesemua tugasan di check point dalam tempoh masa yang diberikan dengan tiga kali percubaan, pihak juri berhak menghentikan pertandingan.

(5.7) Setiap perlawanan akan di nilai oleh empat (4) orang juri dan dua (2) orang juri akan menilai setiap pasukan yang sedang bertanding.

(5.8) Bagi setiap percubaan yang dilakukan mata dan masa yang baru akan direkodkan. Juri akan memilih mata tertinggi (penilaian utama) di antara tiga percubaan yang dilakukan. Seterusnya mata tertinggi ini akan di bandingan dengan mata pihak lawan sebagai penentuan pemenang. Masa yang direkodkan pada percubaan dengan mata tertinggi ini akan digunakan sekiranya perlu untuk penentuan penjurian.

(5.9) Keputusan dalam liga kumpulan adalah seperti berikut:

Klasifikasi

Kredit

Penerangan

Menang

3

Salah satu pasukan dengan mata terbanyak dan/atau masa terpantas.

Seri

1

Kedua-dua pasukan dengan mata dan/atau masa yang sama.

Kalah

0

Salah satu pasukan dengan pungutan mata yang sedikit dan/atau masa yang lama.

(5.9.1) Pada peringkat liga kumpulan ini hanya satu pasukan dengan kredit terbanyak dalam kumpulan masing-masing akan layak ke peringkat suku akhir.

(5.9.2) Penilaian kedua berdasarkan rekod masa terpantas bagi setiap perlawanan akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertindihan kredit yang sama untuk ke peringkat suku akhir.

(5.9.3) Penilaian peringkat ketiga iaitu perlawanan semula akan dilaksanakan kepada pasukan yang terlibat sekiranya pertimbangan pada klausa 5.9 dan 5.10 tidak dapat diputuskan dan perlawanan hanya dijalankan sekali sahaja sebagai penentuan.

(5.10) Pada peringkat suku akhir sehingga akhir penilaian adalah seperti berikut :

(5.10.1) Penilaian pertama : Pasukan dengan jumlah mata terbanyak akan dikira sebagai pemenang.

(5.10.2) Penilaian kedua : Pasukan dengan jumlah mata yang sama tetapi tempoh masa terpantas akan dikira sebagai pemenang.

(5.10.3) Penilaian ketiga : Perlawanan semula sekiranya mata dan tempoh masa yang direkodkan adalah sama.

(5.11) Bagi peringkat pemilihan dua (2) pasukan terbaik selepas peringkat suku akhir penilaian seperti dalam klausa 5.9 akan digunakan.

6. Jadual Perlawanan

(6.1) Bagi peringkat liga kumpulan, setiap pasukan di dalam kumpulan masing-masing akan berlawan sepertimana dalam jadual di bawah.Jumlah kumpulan akan berubah mengikut jumlah penyertaan.

(6.2) Manakala, bagi peringkat suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir akan bertanding sepertimana ketetapan carta di bawah. Jadual berubah mengikut bilangan penyertaan.

7. Jadual Perlawanan
  • Akan dimaklumkan kemudian.
8. Spesifikasi Gelanggang

(8.1) Gelanggang yang akan digunakan adalah daripada material kertas bersaiz A0 dengan ukuran 841 x 1189 mm. Kelebaran laluan robot adalah 25mm dan berwarna hitam.

(8.2) Spesifikasi objek halangan ini adalah bersaiz 15 cm x 15 cm x 5 cm dari bahan acrylic atau setara. Kedudukan objek adalah 25 cm dari checkpoint 10 (terakhir).

9. Robot

(9.1) Spesifikasi Robot

(9.1.1) Robot yang digunakan semasa hari pertandingan adalah dari jenis zoom:bit sahaja seperti gambar di atas. Robot selain itu adalah tidak dibenarkan.

(9.1.2) Saiz robot tidak melebihi 20 cm (panjang) x 20 cm (lebar) dan tinggi tidak ditetapkan. Sebelum perlawanan, pihak urus setia akan mengukur saiz robot terlebih dahulu.

(9.1.3) Jenis motor yang dibenarkan adalah jenis Motor DC yang tidak melebihi 9V.

(9.1.4) Maksimum bekalan kuasa keseluruhan yang dibenarkan adalah 9V dan perlu disediakan sendiri oleh setiap pasukan yang bertanding. Dicadangkan setiap pasukan menyediakan lebih dari satu (1) set lengkap bekalan kuasa.

(9.1.5) Berat robot yang dibenarkan adalah tidak melebihi 600 gram.

(9.2) Kawalan Robot

(9.2.1) Peserta bebas untuk menggunakan sebarang pengaturcaraan dan pengekodan yang dipelajari.

(9.2.2) Robot mestilah dikawal secara automatik semasa pertandingan dan hanya pengunaan butang yang terdapat pada zoom:bit sahaja dibenarkan untuk mengaktifkan fungsi pergerakan robot secara automatik.

(9.2.3) Kawalan secara pengawal jarak jauh adalah dilarang sama sekali

(9.2.4) Pengunaan kamera sebagai pengesan laluan adalah tidak dibenarkan sama sekali. Hanya pengesan laluan yang sedia ada pada robot zoom:bit sahaja dibenarkan untuk tujuan itu.

(9.2.5) Robot hanya boleh menggunakan pengawal mikro micro:bit sebagai teras kawalan robot.

(9.3)    Syarat Tambahan

(9.3.1) Penggunaan pengesan tambahan selain darpiada spesifikasi awal robot zoom:bit adalah tidak dibenarkan.

(9.3.2) Robot tidak dibenarkan merosakkan gelanggang pertandingan dengan sengaja.

(9.3.3) Robot tidak boleh mengeluarkan sebarang cecair atau serbuk atau sebarang bahan lain kepada pihak lawan dan gelanggang.

(9.3.4) Robot tidak boleh mengguna pakai mana-mana peranti mudah terbakar dan berbahaya.

(9.3.5) Penggunaan elemen tayar yang melekat/melekit tidak dibenarkan kerana boleh merosakkan gelanggang.

10. Lain-lain

(10.1) Keputusan juri adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.

(10.2) Sekiranya terdapat sebarang permasalahan yang berlaku yang tiada di dalam syarat pertandingan, juri dan urus setia diberi kuasa sepenuhnya untuk membuat keputusan.

(10.3) Syarat pertandingan dan tarikh program boleh diubah dari semasa ke semasa untuk penambahbaikkan pertandingan.